AGAMA : ROMBONGAN UMRAH NABI DIHALANG

by 11:40 AM 0 comments

APABILA banyak perubahan besar berlaku yang memihak dan menguntungkan Islam, ia memberi peluang kepada Rasulullah dan seluruh umat Islam untuk mengorak langkah lebih berani bagi melebarkan sayap dakwah dan bebas melakukan ibadat.

Bebas beribadat itu turut bermaksud menyempurnakan kembali hak mereka melakukan ibadat umrah dan haji di Masjidil Haram Mekah.

Iaitu ibadah yang dinafikan kepada umat Islam oleh para penguasa Kota Mekah ketika itu, iaitu pihak kafir Quraisy.
Selama enam tahun umat Islam dilarang melakukan ibadat umrah dan haji. Pemboikotan itu perlu dipecahkan. Kerana itu umat Islam di Madinah mesti 'kembali' semula ke Mekah walaupun menyedari risiko yang menunggu.

Tambahan, Rasulullah sendiri terlalu rindu mengerjakan umrah dan haji sehingga termimpi-mimpi akan suasana ibadat itu di Kaabah. Baginda pun berkongsi dengan umat Islam yang lain akan mimpi tersebut.

Sekali gus menyebabkan mereka begitu gembira kerana disifatkan satu petanda yang baik bahawa kali ini mereka pasti dapat kembali ke Mekah.

Akhirnya, sebagaimana yang mereka rancang, rombongan baginda akhirnya bergerak ke Mekah.
Pada hari Isnin 1 Zulkaedah tahun 6 Hijrah bermulalah satu perjalanan menuju ke Mekah.

Sama ada di dipermudahkan mahupun sebaliknya terserah kepada Allah bagi menjadikan impian untuk mereka bertalbiah, bertawaf, bersaie, bertahalul itu menjadi satu realiti memandangkan Mekah masih dikuasai oleh musuh ketat Islam.

Baginda membawa isterinya, Ummu Salamah bersama dengan kira-kira 1,500 umat Islam yang lain.
Masing-masing hanya bersenjatakan pedang yang bersarung. Ini kerana, mereka tiada tujuan untuk berperang kecuali untuk beribadah semata-mata.

Bagai menyambut sambut perayaan besar, baginda bersama seluruh umat Islam yang lain meninggalkan Kota Madinah dengan tidak sabar-sabar dan gembira untuk segera sampai ke Kota Mekah.

Gempar

Malah apabila sampai di sebuah kawasan bernama Zul Hulaifah, baginda segera memasang gelang dan penanda pada haiwan-haiwan ternakan terutama unta dan kambing yang hendak dikorbankan.

Kemudian baginda dan seluruh anggota rombongan yang lain memakai pakaian ihram supaya sesiapa yang melihat tahu tujuan mereka adalah untuk beribadat di Mekah dan sama sekali tidak boleh diperangi.

Melalui bantuan para perisik dari kabilah-kabilah Arab lain, berita kedatangan rombongan umrah dan haji dari Madinah akhirnya sampai juga ke pengetahuan penduduk Mekah.

Maka suasana bertukar gempar dan mendapat pelbagai reaksi sehingga menjadi bahan percakapan di sana sini. Mereka sama sekali tidak menyangka Rasulullah dan para pengikutnya yang dahulunya seolah-olah melarikan diri dari Kota Mekah, kini dengan begitu berani dan yakin mahu kembali semula ke kampung halaman mereka.

Walaupun untuk tujuan ibadat, namun pihak Quraisy masih tidak senang dan tidak dapat menerima sebarang kehadiran pihak Islam ke Mekah untuk apa juga tujuan sekali pun. Maka, mereka pun bersidang.

Akhirnya sebagaimana yang dijangka kehadiran umat Islam itu mahu disekat. Seramai 200 tentera berkuda Quraisy dikerah berhadapan dengan rombongan Rasulullah.

Tentera kafir itu diketuai oleh pahlawan Quraisy yang sangat terkenal dengan kegagahan dan kehebatan berperang iaitu Khalid Al Walid.

Apabila pasukan tentera Quraisy itu sampai di suatu tempat, iaitu Qura al Ghamim - jalan utama untuk sampai ke Mekah - Khalid Al Walid pun akhirnya bertembung dengan rombongan umat Islam.

Tetapi ketika itu, umat Islam sedang mendirikan solat Zuhur secara berjemaah yang diimamkan oleh Rasulullah.
Khalid dan anggota tentera hanya memerhatikan sahaja umat Islam yang sedang solat itu. Ini memberikan satu ilham kepada Khali iaitu menyerang umat Islam ketika mereka sedang 'leka' solat.

"Mereka sedang berada dalam keadaan alpa. Kalau kita serang mereka pasti kita akan menang, maka akan selesailah satu masalah," bisik hati Khalid.

Namun Khalid tidak terus menyerang tetapi beliau bercadang bertindak apabila rombongan Rasulullah itu hendak mendirikan solat Asar berjemaah.

Pasti kali ini, sekali lagi di bawah pimpinan Khalid, pihak Quraisy akan mencapai kemenangan terhadap umat Islam sebagaimana pahlawan Quraisy itu pernah mengucar-kacirkan pertahanan Islam semasa Perang Uhud dahulu.


Fara  Rauf

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment