HIBURAN : INA NAIM KEKAL BAHAGIA

by 9:36 AM 0 comments

SEKITAR tahun 2006, kehadiran wanita berwajah lembut ini telah mencetuskan impak luar biasa. Mahu atau tidak, harus diakui kedudukannya ketika itu seiring dengan barisan artis popular yang sedia ada.

Barangkali seluruh peminat hiburan tempatan tahu akan kewujudan Nordiana Md. Naim atau Ina Naim ke dalam industri seni tempatan sehingga sempat merakamkan sebuah album, Duhai Hati selain membintangi drama rantaian, Air Mata Maria terbitan Skop Productions.

Tidak perlu lagi disingkap kisah lalu itu kerana apa yang pasti Ina Naim kini cukup bahagia dengan kehidupan baru yang dilaluinya bersama suami dan dua orang anaknya.

Walaupun hampir lima tahun mendiamkan diri selepas mendirikan rumah tangga bersama Mohd. Suhaimi Saad pada 12 Ogos 2007, sesungguhnya Ina Naim masih memiliki nilai berita untuk diceritakan kepada masyarakat.

Berkesempatan bertemu dengan wanita yang membahasakan dirinya sebagai Ina ini di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Hits bertanyakan kepada Ina tentang kehidupannya hari ini.

Dengan senyuman yang tidak lekang dari wajahnya itu sambil sibuk melayan kerenah anak keduanya, Sallman ElKhoyri yang berusia 15 bulan, Ina memberitahu hari-hari dilaluinya sama seperti suri rumah lain.

“Jujurnya, saya sendiri yang mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti seni selepas berkahwin. Saya tahu ramai yang beranggapan suami saya yang mengarahkan untuk berbuat demikian.

“Tetapi, semua itu tidak benar sebaliknya apa yang saya lakukan atas kehendak diri sendiri. Suami hanya tidak mahu saya aktif sepenuh masa sebagai artis seperti dahulu.

“Sepanjang tempoh itu, tumpuan saya hanyalah untuk keluarga dan anak-anak yang semakin membesar. Bagi saya, itulah kurniaan Allah SWT yang tidak terhingga buat seorang ibu untuk melihat pembesaran anak-anaknya di depan mata,” kata Ina sambil memandang ke arah suaminya.

Ternyata kematangan Ina sebagai seorang wanita cukup terserlah dan semuanya tergambar menerusi butir bicaranya. Barangkali semua ada kaitan dengan perjalanan hidupnya sebagai seorang isteri dan ibu.

Ketika sesi temu ramah itu, anak sulung mereka Ehmad Hadie Elfardie yang berusia hampir empat tahun tidak bersama mereka kerana berada di Kuantan, Pahang bersama keluarga Suhaimi.

Menyambung bicara, dalam sibuk mengendalikan urusan harian rumah tangga, Ina memberitahu dia juga membantu suaminya menguruskan perniagaan dan juga kelas mengaji untuk kanak-kanak.
“Kami ada membuka gerai menjual laksa di salah sebuah medan selera berhampiran kediaman di Bandar Sri Damansara pada waktu malam.
“Di sebelah siangnya pula, kami akan mengajar mengaji untuk kanak-kanak. Dalam masa yang sama juga, saya sendiri mengikuti kelas agama oleh guru yang dijemput ke rumah.

“Setidak-tidaknya, masa saya terisi dengan pelbagai aktiviti selain daripada tumpuan kepada keluarga. Alhamdulillah, saya cukup selesa dan gembira melalui kehidupan sekarang.

“Apatah lagi, kami juga sedang menantikan kelahiran anak ketiga yang dijangka akan lahir sekitar bulan Jun nanti. Teringin juga mahu anak perempuan selepas puas menjaga dua orang anak lelaki,” jelas Ina sambil ketawa kecil.
Wanita berusia 28 tahun yang pernah popular dengan lagu Duhai Hati dan Rebah ini sempat diusik apakah dia sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri seni tempatan.

Sambil memandang ke arah suaminya, Ina memberitahu dia mempunyai perancangan untuk berbuat demikian lantaran anak-anak juga semakin membesar.

Tetapi, kata Ina, untuk lagu dan album akan datang, dia tidak akan lagi menyanyikan lagu-lagu berunsurkan cinta dan duniawi, sebaliknya kepada lagu berunsur ketuhanan serta kerohanian.

Malah, suaminya juga telah memberi lampu hijau dan memberikan kebenaran untuk Ina aktif semula dalam bidang seni.


Fara  Rauf

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment