HIBURAN : LAWAK KE DER? PECAH ISTANA BUDAYA

by 9:40 AM 0 comments
BOBOI yang dianggotai oleh Afdlin Shauki (kanan) dan Harun Salim Bachik mencuit hati dengan karekter mereka yang melakonkan watak dua 'datin' pada pementasan Lawak Ke, Der? di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KEJAYAAN persembahan Lawak Ke, Der? (Bila Hati Digeletek) yang dibawakan oleh Istana Budaya (IB) di Panggung Sari pada 3, 4 dan 5 Februari lalu ternyata memberi impak yang cukup positif.

Persembahan ini dijayakan oleh nama-nama besar dalam dunia jenaka tempatan iaitu Osbon, Boboi, Jozan, Nabil Raja Lawak dan Harith Iskander.

Inilah antara yang menyuntik keyakinan buat IB untuk mempersembahkan lebih banyak lawak jenaka di panggung tersebut.

Menurut Ketua Pengarah IB, Datuk Mohammed Juhari Shaarani, ekoran kejayaan besar Lawak Ke, Der? , pihaknya akan menganjurkan satu lagi persembahan di IB iaitu Pecah Perut (Bila Hati Digeletek).

"Pecat Perut akan dibawakan oleh syarikat produksi Global Network di mana ia akan dipentaskan pada 27 hingga 29 September ini di Panggung Sari. Persembahan itu akan diacarakan oleh Nabil Raja Lawak.
"Antara pelawak yang akan ditampilkan pada persembahan itu ialah kumpulan Sepah, Sharifah Shahirah, Aby Yus, Angah Raja Lawak dan Sathiya. Persembahan itu terletak di bawah slot Bila Hati Digeletek yang khusus untuk lawak jenaka.

"Slot itu diadakan selepas kejayaan pementasan Lawak Ke, Der? di mana ia slot terbaru di IB selepas adanya pementasan seperti konsert, teater dan muzikal yang diadakan selama ini," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Pada pementasan Lawak Ke, Der? pada malam ini, esok dan 12 Februari, para pelawak terbabit akan meneruskan persembahan mereka dengan cerita yang berbeza.

Os yang mewakili kumpulan Osbon yang juga juara pertandingan Maharaja Lawak Mega berkata, dia dan Abon sering muncul dengan idea yang tercetus pada saat-saat akhir di mana ia suatu cabaran yang bukan kepalang buat mereka.
"Contohnya dalam persembahan pertama pada 3 Februari lepas, kami mengubah lagu Louis Armstrong yang bertajuk What The Wonderful World kepada Gigi Ku Sayang. Lagu itu dirakamkan sehari sebelum persembahan itu.

"Bagi menarik perhatian para penonton dan memberi kelainan, kami sentiasa tampil dengan idea dan persembahan yang berbeza sewaktu muncul dalam Lawak Ke, Der?," katanya sewaktu ditemui selepas persembahan itu.

Pelawak yang lebih dikenali di atas pentas stand-up comedy sejak dua dekad lalu, Harith Iskander juga tidak terkecuali bekerja keras memerah idea bagi dipersembahkan dalam durasi masa 30 minit.

Bagaimanapun, pelawak berusia 46 tahun ini menggunakan pengalamannya sebagai pelawak pentas sejak 21 tahun lalu dengan pelbagai topik serta isu semasa.

Harith mengekalkan identiti lawak jenakanya yang lebih lebih relevan dengan situasi semasa yang sedang berlaku baik dalam mahupun di luar negara.

"Walaupun banyak idea baharu yang saya tampilkan , pada masa sama saya juga mengitar semula sedikit idea-idea lama yang pernah dipersembahkan sebelum ini. Mungkin ramai yang kurang perasan dengan pendekatan itu.

"Ini kerana, sebelum ini persembahan saya lebih banyak diadakan di majlis-majlis makan malam atau acara koporat di mana lawak jenaka saya dalam bahasa Inggeris, sedangkan kali ini lebih kepada bahasa Melayu," jelasnya.

Sementara itu, Afdlin Shauki yang mewakili kumpulan Boboi berkata, dia bersama pasangan lawaknya, Harun Salim Bachik mengambil pendekatan menampilkan pengisian lawak jenaka yang lebih dewasa berbanding sebelumnya.
Jelas Afdlin, jika di Maharaja Lawak Mega, Boboi lebih cenderung menampilkan gaya persembahan dengan watak kanak-kanak, dalam Lawak Ke, Der? mereka mengetengahkan lawak yang lebih dalam maksudnya.

"Itu tidak bermakna kami memaparkan lawak yang ada unsur double meaning atau lucah, sebaliknya kami tetap terikat dengan etika. Pentas Maharaja Lawak Mega dan Lawak Ke, Der?berbeza di mana di sini kami ada lebih kebebasan.
"Ini kerana, Maharaja Lawak Mega disiarkan secara langsung dan ditonton semua lapisan masyarakat sedangkan Lawak Ke, Der? kebanyakannya ditonton oleh orang dewasa. Itu adalah kelainan persembahan ini," ujarnya.

Lawak Ke, Der? terbitan bersama IB dan NRG Enterprise Sdn. Bhd. itu menampilkan persembahan selama kira-kira 30 minit setiap pelawak di mana keseluruhan pementasan mengambil masa hampir dua jam.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket sila hubungi talian 03-41478600 atau layari laman sesawang www.ticket2u.biz bagi menyaksikan persembahan lawak jenaka pertama di IB sejak penubuhanannya lebih sedekad lalu.





Fara  Rauf

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment