BERITA : LHDN KUTIP CUKAI RM 109 BILION

by 9:52 AM 0 comments

Datuk Seri Najib Razak berkata, kejayaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip hasil berjumlah RM109.7 bilion tahun lalu dengan peningkatan 27 peratus berbanding 2010 adalah satu pencapaian luar biasa. 

Perdana Menteri berkata peningkatan kutipan juga membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak program dan kemudahan untuk rakyat, selain merangsang ekonomi negara.
Justeru, Najib berkata bagi memastikan kerajaan berupaya terus menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, tanggungjawab dan kesedaran membayar cukai bagi golongan yang layak perlu dipertingkatkan.
Katanya, beberapa negara di Eropah menghadapi kemelut ekonomi berpunca daripada kegagalan mengutip cukai sehingga menyebabkan ekonomi hitam meningkat, sekali gus menyebabkan kebangkrapan. 

Beliau berkata ia juga mengukuhkan asas pendapatan negara sehingga kerajaan berkemampuan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Sara 1Malaysia dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

Katanya, selain asas pendapatan yang kukuh, keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan untuk rakyat juga disebabkan keupayaan mengurus tadbir negara, mengendalikan pengurusan ekonomi, terutama pada peringkat makro dan pengurusan kewangan dengan baik. 

Kadang-kadang perkhidmatan ini dianggap sebagai seolah-olah satu hak, tetapi sebenarnya ia menjadi kenyataan disebabkan oleh kebolehan kita. 
Jika kita membina sekolah, klinik dan jalan raya serta pelbagai lagi perkhidmatan kepada rakyat, asasnya ialah (kerana) kita berkemampuan berbuat demikian, katanya ketika merasmikan Menara Hasil, bangunan ibu pejabat baru LHDN, di sini semalam. 

Beliau berkata, di Malaysia, dalam bidang kesihatan misalnya, dengan bayaran RM1, rakyat berpeluang mendapatkan rawatan doktor, manakala dengan caj RM5 boleh mendapat rawatan pakar serta perkhidmatan lain seperti x-ray. 

Bayangkan kos sebenarnya, kita hanya kutip (caj) dua peratus daripada perbelanjaan sebenar, 98 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan kerana (ditampung) kutipan cukai, katanya. 

Berikutan itu, beliau mahu LHDN menggiatkan usaha mendidik rakyat supaya membayar cukai pendapatan menerusi kempen dan penguatkuasaan undang-undang berhemah, sekali gus berupaya menutup ketirisan. 

Pada majlis itu, Najib menyampaikan BR1M kepada 50 penerima serta melancarkan perkhidmatan mengemukakan borang penyata cukai pendapatan bagi pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan (BE) menerusi telefon mudah alih atau m-Filing. 

Perkhidmatan disokong oleh peranti yang memiliki sistem operasi iOS versi 4 ke atas seperti iPhone dan iPad, Android versi 2.2 ke atas, BlackBerry versi 6 ke atas dan Windows Phone versi 7 ke atas. Perkhidmatan tambahan itu memudahkan orang ramai mengemukakan borang BE kepada LHDN menerusi telefon mudah alih pintar.

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment