PENDIDIKAN : TERAP PENDIDIKAN ASAS KENEGARAAN DI SEKOLAH - RAJA NAZRIN

by 2:49 PM 0 comments


Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

Tanpa pendidikan sedemikian, baginda khuatir akan muncul lebih ramai individu seperti pengguna Facebook dengan nama ‘Melissa Gooi’ yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di negara ini.

“Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013 bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Sementara itu, di sebalik kritikan pelbagai pihak terutama para pemimpin pembangkang terhadap Utusan Malaysia, Dr. Nazrin bertitah mempertahan akhbar itu yang disifatkan baginda tidak mengamalkan diskriminasi kaum.

Dengan mengambil contoh tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan melalui kolum Cuit baru-baru ini, baginda bertitah, kupasan Zaini mengenai situasi Melissa Gooi membuktikan akhbar itu membela wanita berketurunan Cina tersebut.

Titahnya, tulisan Zaini yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 5 Jun lalu bertajuk Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di sekolah meningkatkan keyakinan baginda majoriti rakyat negara ini tidak bersifat perkauman, sebaliknya insan berjiwa rasional dan berfikiran waras.

Malah, baginda turut memuji Zaini yang disifatkan berjiwa besar dan contoh semangat seorang Malaysian yang secara tegas melahirkan pandangan kritis atas prinsip kebenaran meskipun percaya Zaini tidak mengenali Melissa Gooi.

“Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti rencana tulisan beliau, Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan Cina sementara Zaini, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu, berwajah Melayu, berdarah Melayu, malah bertugas dengan akhbar Utusan Malaysia yang dilabel setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api perkauman.

“Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia, akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina," titah baginda

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment