PENYANYI yang kini namanya lebih menyinar sebagai seorang aktres, Elly Mazlein bakal bergelar isteri pada pertengahan Disember ini lewat beberapa bulan daripada tarikh rancangan asal iaitu sekitar Februari ini.
Mungkinkah Elly dan tunang, seorang pengarah drama serta filem, Azmi Hata, 37, menunda tarikh perkahwinan mereka sehingga hujung tahun kerana tidak mahu berkongsi tumpuan dengan beberapa artis lain yang turut dijadual melangsungkan perkahwinan pada tahun ini?
Menjawab persoalan itu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi, 31, ketika ditemui pada pelancaran drama Amukan Pocong di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini memberitahu kesibukan jadual kerja punca majlis perkahwinan mereka terpaksa ditunda sehingga Disember depan.
"Memang, ketika majlis pertunangan kami memberitahu ingin bernikah pada bulan Februari ini tetapi itu hanya rancangan kami sahaja belum ada sebarang kata putus lagi.
"Disebabkan kedua-dua kami sangat sibuk dengan kerja, tarikh nikah dan majlis perkahwinan dibawa ke bulan Disember.
"Sebenarnya pada 17 Disember merupakan hari lahir saya tetapi disebabkan itu merupakan hari biasa, saya akan buat pada hari Sabtu kerana ramai saudara-mara jauh tidak dapat hadir kalau saya buat hari biasa. Tidak dapat nikah pada hari lahir, nikah pada bulan lahir sahaja pun okey juga," katanya.
Masih belum menetapkan sebarang tarikh pernikahan, jelas Elly bulan April akan diperuntukkan untuk membuat persiapan sepenuhnya majlis perkahwinan.
"Tarikh tetap belum ada tetapi apa yang boleh saya cakap sekitar pertengahan bulan Disember. Saya sudah berbincang dengan abang Azmi.
"Bulan April kami harus meluangkan masa untuk melakukan persiapan seperti berjumpa pereka fesyen dan perunding perkahwinan serta bermacam-macam lagi perkara yang harus diselesaikan," ungkapnya yang akan menggunakan pakaian rekaan Eilla Faizshah dari Busana Cinta untuk majlis bersejarahnya.
Jika mengimbas semula majlis pertunangannya yang berlangsung di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur pada Jun lalu, ramai yang terpegun dengan majlis serba mewah itu. Malah Elly siap menaiki kereta kuda menuju ke dewan majlis.
Pastinya majlis pernikahan serta perkahwinannya lebih hebat daripada majlis pertunangan, barangkali mahu menjadi perkahwinan yang terbaik di kalangan artis.
Tertawa dengan kenyataan itu tutur Elly: "Saya bukan ingin berlawan dengan sesiapa dan bermewah-mewah tetapi perkahwinan merupakan perkara paling bersejarah dalam hidup saya, sudah tentu saya mahu yang terbaik.
"Saya juga ada impian tetapi tidaklah sampai berhabis duit semata-mata untuk sebuah majlis perkahwinan. Saya ingin sebuah majlis perkahwinan yang saya dan tetamu yang hadir boleh kenang sampai bila-bila."
Akui Elly yang sudah tidak sabar untuk bergelar isteri, dia amat menyukai nombor satu, justeru itu dia bakal menerima wang hantaran sebanyak RM11,111,11.
"Jumlah wang hantaran itu tidak ada sebarang simbolik, cuma saya memang sukakan nombor satu," luahnya sambil tersenyum manis.
Bersih kontroversi
Sepanjang lima tahun sebelum ini, nama Elly Mazlein tidak pernah kering daripada kontroversi. Bercinta dengan VVIP, berkahwin secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua, ketiga orang kenamaan antara gosip yang membabitkannya.
Namun, sejak bertunang dengan duda yang mempunyai dua anak lelaki, Azam, 11, dan Aqif, 10, hasil perkahwinan pertamanya itu, nama Elly kembali bersih dan suci daripada sebarang kontroversi.
"Gosip dan segala kontroversi itu sudah kecoh lima tahun dahulu. Bagi saya itu adalah normal apabila menjadi anak seni kerana gosip itu perkara biasa.
"Cerita saya hanya dikaitkan dengan suami orang, saya tidak ada sebarang masalah berkenaan hal itu. Saya mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah kerana sudah tiba masanya bukannya mahu menutup kontroversi.
"Sekarang, saya tidak sabar menunggu untuk bergelar isteri dan berharap ikatan pertunangan kami akan berakhir dengan pernikahan," katanya penuh harapan.
Kembali menyanyi
Selepas sekian lama menyepi daripada dunia seni suara dan memberi fokus kepada dunia lakonan, Elly kini sudah bersedia untuk membuat kemunculan semulanya sebagai penyanyi dalam tahun ini juga.
Bakal muncul dengan dua buah single masing-masing berjudul Please Forgive Me dan Kata Saja I Love You ciptaan sepenuhnya oleh komposer Julfekar, Elly yakin dengan langkahnya apabila kedua-dua lagu itu dipilih sebagai lagu tema untuk dua buah filem yang belum ditayangkan.
"Walaupun kedua-dua lagu ini belum disiarkan di radio, saya rasa bertuah kerana lagu Please Forgive Me telah dipilih sebagai lagu tema untuk filem Awan Dania The Movie, manakala lagu Kata Saja I Love You terpilih untuk filem Aku Kau & Dia, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd..
"Buat masa ini biarlah saya muncul dengan dua buah lagu single sahaja dahulu, jika ada rezeki mungkin saya akan muncul dengan sebuah album penuh tetapi saya tidak boleh berjanji," balasnya.
Tidak hanya menyanyikan lagu ciptaan Julfekar kerana Elly turut mengikat kontrak selama setahun sebagai artis naungan di bawah syarikat milik komposer itu.
"Kenapa pilih lagu Julfekar, bagi saya lagu-lagunya segar dan saya suka dengan melodinya. Lagipun saya dan dia sudah kenal lama, saya juga selesa dengan cara kerjanya," katanya.
0 comments:
Post a Comment