HIBURAN : MANIA, MEDAN ARTIS BERSAING

by 10:26 AM 0 comments

SERAMAI 12 orang penyanyi terkenal bakal berentap dalam Mania musim pertama yang menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM500,000 untuk penyanyi yang berjaya menjadi juara.


MENOBATKAN yang terbaik daripada yang terbaik! Itu matlamat program terbaharu Astro berjudul Mania yang dijangka memanaskan industri hiburan seni tanah air.
Program ini bakal menyaksikan pertembungan hebat penyanyi-penyanyi tempatan berbakat besar yang akan bekerjasama dengan tiga orang komposer tersohor iaitu Datuk M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito.
Program berkonsepkan pertandingan nyanyian ini bakal digamatkan lagi oleh Aznil Nawawi selaku hos.
Bakal berlangsung selama 10 minggu, Mania menampilkan 12 penyanyi tempatan yang sudah ada nama untuk bersaing sesama sendiri.
Mereka terdiri daripada Stacy AF6, Jaclyn Victor, Hafiz AF7, Shila Amzah, Hazama AF9, Atilia, Akim AF7, Alyah, Estranged, Adira AF8, Kristal dan Awi Rafael.
Kesemua mereka mempunyai satu matlamat iaitu untuk merebut gelaran juara Mania musim pertama ini.
“Berdasarkan pencapaian sebelum ini, kami melihat Astro telah berjaya melahirkan ramai pelapis yang berpotensi untuk bidang nyanyian, lawak jenaka dan lakonan.
“Kehadiran mereka ternyata bukan sekadar tempelan namun memberi impak besar kepada industri hiburan tempatan.
“Kami berharap program Mania ini bakal mencipta fenomena baharu dalam industri muzik kelak,” ujar Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
Kesemua 12 peserta ini juga akan dibimbing oleh M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey Suwito yang bukan sahaja bertindak selaku penerbit muzik tetapi mereka masing-masing turut diberi kuasa untuk memilih sendiri empat orang artis di bawah bimbingan mereka kelak.
“Pihak penerbitan Mania sangat berbesar hati apabila berjaya mendapat kerjasama daripada ketiga-tiga ikon terkenal ini untuk musim pertama.

NIZAM (kanan) melancarkan program Mania bersama tiga penerbit ternama (dari kiri), M. Nasir, Ahmad Dhani dan Aubrey di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Saya yakin ia mampu memberi impak paling maksimum buat para penyanyi yang bakal bertanding dalam program ini.
“Dengan pengalaman dan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing, kami percaya ia akan dapat memberi manfaat kepada para peserta. Persetujuan dan komitmen mereka sangat kami hargai,” kata Nizam Sani lagi.
Selain 12 artis tersebut, Mania juga akan menyerap tiga orang penyanyi lain menerusi pilihan melalui undian Hot Seat secara talian menjadikan jumlah keseluruhan peserta adalah sebanyak 15 orang.
Talian undian Hot Seat secara talian tersebut telah dibuka bermula 20 Februari lalu hingga 16 Mac ini. Orang ramai yang ingin mengundi boleh layari laman web www.mania.com.my.
Apa yang menariknya Mania akan menggunakan format pemarkahan 100 peratus undian penonton melalui sistem pesanan ringkas. Peserta dengan undian terendah akan tersingkir.
Bagi juara Mania kali ini bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu wang tunai RM500,000 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima habuan wang tunai RM200,000 dan RM100,000.
Hadiah wang tunai sebanyak RM300,000 itu juga bakal dimenangi oleh penerbit muzik yang berjaya membimbing artis di bawahnya sehingga dinobatkan sebagai juara.
Mania musim pertama dijadual ditayangkan menerusi Astro Ria (saluran 104) pada setiap hari Sabtu, pukul 9 malam bermula 17 Mac ini.

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment