BERITA : TWITTER NIZAR BERHUBUNG ISU NOMBOR PENDAFTARAN PLAT WWW 1 DIANGGAP SINDIRAN

by 9:30 AM 0 comments
Twitter Nizar berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1 dianggap sindiran


Seorang wartawan Utusan Melayu (M) Bhd. memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kenyataan Twitter bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1, difahaminya sebagai satu sindiran kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Mohd. Ifqdar Abd. Rahman, 31, berkata, sindiran tersebut adalah bermaksud wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membina rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) telah disalahgunakan oleh baginda untuk pembidaan nombor plat tersebut.

Ini kerana, jelas saksi berkenaan, program PPRT adalah satu program yang dibiayai oleh kerajaan dengan menggunakan wang rakyat.

Menurutnya, dia juga memahami kenyataan Twitter kedua pemimpin politik pembangkang itu yang bermaksud beliau mahu Majlis Fatwa Kebangsaan menjelaskan sama ada pembelian nombor plat tersebut dibenarkan.

"Ini membawa kepada satu gambaran bahawa terdapat penyalahgunaan wang rakyat oleh Baginda Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dalam urusan pembelian tersebut," katanya yang bertugas di Johor Bahru, Johor.

Wartawan itu berkata, Twitter ketiga pula difahami sebagai Mohammad Nizar mempersoalkan Sultan Johor menggunakan nombor plat yang dibeli untuk diletakkan di kenderaan mewah dan bukannya pada kereta Proton atau motosikal.

"Pada masa yang sama, Mohammad Nizar menyatakan rakyat Johor miskin seolah-olah menggambarkan ramai rakyat Johor yang hidup dalam kemiskinan," katanya.

Mohd. Ifqdar menyatakan demikian dalam pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman fitnah RM50 juta oleh Mohammad Nizar terhadap Utusan Melayu berhubung isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor yang dibida pada harga RM520,000.

Dalam saman yang difailkan pada 10 Julai 2012, Mohammad Nizar selaku plaintif menyatakan, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya pada 28 Mei tahun yang sama berhubung bidaan nombor plat itu.

Ekoran kenyataan itu, dakwanya, Utusan Melayu pada 31 Mei 2012, telah menerbitkan satu artikel berunsur fitnah di muka surat 11, akhbar Utusan Malaysia bertajuk Lapan laporan polis dibuat bantah kenyataan biadab terhadap Sultan Johor - Pasukan khas siasat kenyataan Nizar.

Bagi plaintif, pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau seorang penderhaka kepada sultan amnya dan Sultan Johor khususnya, selain ahli politik yang anti-sultan dan cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.

Dalam keterangannya, Mohd. Ifqdar berkata, apa yang boleh digambarkan adalah plaintif mempersoalkan tindakan Sultan Johor membeli nombor plat itu dan dalam masa yang sama, perbelanjaan RM520,000 dilihat ibarat menyalahgunakan duit rakyat untuk suatu pembaziran dan mengabaikan permasalahan rakyat.

"Dengan mengaitkan program PPRT dengan bidaan tersebut, Twitter plaintif itu difahami seolah-olah menggambarkan Sultan Johor telah menyalahgunakan duit rakyat untuk pembelian nombor plat WWW 1 dan bukannya digunakan untuk pembangunan program PPRT," katanya.

Justeru saksi defendan ketiga itu berkata, Utusan Melayu selaku defendan tidak pernah mempunyai niat jahat dalam penerbitannya dan percaya tiada penambahan fakta atau pindaan fakta dibuat dalam artikel tersebut.

"Ingin saya nyatakan di sini bahawa artikel tersebut telah dilaporkan secara jujur dan ikhlas berdasarkan kenyataan Twitter plaintif dan temu ramah dan kenyataan daripada Ketua Polis Johor," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika disoal oleh peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Utusan Melayu, mengesahkan artikel yang disiarkan oleh akhbar itu bertarikh 31 Mei 2012 adalah benar.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohd. Fitri Asmuni yang mewakili plaintif, Mohd. Mokhtar yang hadir sebagai saksi defendan pertama berkata, tiada tuduhan dibuat terhadap Mohammad Nizar sehingga hari ini.

Selepas ketiga-tiga saksi defendan termasuk wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor, Suhainie Khalid selesai memberi keterangan hari ini, Hakim Rosnaini Saub menetapkan 7 Jun ini untuk kedua-dua pihak membuat penggulungan hujah masing-masing.


Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment