TONY EUSOFF bukan nama baharu dalam dunia perfileman. Begitu juga nama Sofi Jikan, terletak di kelasnya tersendiri. Namun bagi pemilik nama Izreen Azminda Aznam, dia masih hijau dalam dunia lakonan. Lakonannya lebih tertumpu ke arah drama seperti Juvana dan Tentang Dhia.
Filem Pecah arahan Asrull Hisyam Ahmad atau Black, terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd., merupakan taruhan pertama Izreen sebagai heroin yang buat pertama kali di dalam filem bergandingan dengan Tony dan Sofi.
Ketiga-tiga pelakon itu mengaku begitu teruja menjayakan filem yang diadaptasi dari novel berjudul Pecah terbitan Buku Fixi kerana amat mudah mendapatkan keserasian di antara mereka, memandangkan masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan.
Kosmo! bersua dengan ketiga-tiga pelakon utama filem Pecah di lokasi penggambarannya yang berlangsung di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini, dan seterusnya berjaya menyelak diari kerjaya serta peribadi masing-masing.
Perkahwinan Tony
Bagi pelakon yang terkenal menerusi filem Sepi, Tony Eusoff, 33, dia mengakui cukup teruja untuk kembali ke dunia perfileman memandangkan sudah lama dia tidak muncul di layar perak.
Malah, keterujaannya dikhabarkan berganda apabila digandingkan dengan pelakon berbakat besar iaitu Sofi Jikan. Ungkap Tony, Sofi dan dirinya sudah mempunyai keserasian dari segi gandingan lakonan sejak mereka bergandingan dalam siri televisyen, Frontpage.
"Sudah empat tahun saya tidak berlakon di layar perak. Filem terakhir saya adalah Sepi. Rasa rindu sangat kembali berlakon filem sebabnya bagi saya, puncak tertinggi seorang pelakon adalah apabila dia berjaya berlakon filem.
"Bukan tidak ada tawaran berlakon filem tetapi karakter yang diberi tidak sesuai dengan kehendak kita. Kemudiannya datang tawaran filem Pecah. Sinopsis bagus, karakter sangat kuat malah gandingan pelakon-pelakon juga hebat. Jadi, saya terima. Lebih membuatkan saya teruja apabila saya dapat kembali bekerjasama dengan Sofi.
"Saya suka cara Sofi bekerja kerana dia sangat fokus dan benar-benar menjiwai watak yang diberikan kepadanya. Izreen juga pelakon berbakat besar dan senang untuk mendapatkan keserasian dengannya," ujar Tony yang membawakan watak Herman, seorang perompak yang merompak untuk membalas dendam.
Tambah Tony, dia menolak banyak tawaran lakonan kerana dia memilih watak.
"Saya hanya akan pilih watak yang mampu dibawa. Kalau karakter ustaz memang saya tolak sebabnya saya tidak pandai mengaji. Kalau boleh saya mahu bawa watak yang orang fikir saya tak mampu bawa seperti petani, nelayan atau mekanik," ujar pemilik nama penuh Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman itu.
Dalam pada itu, Tony meluahkan rasa terkilannya terhadap sebuah produksi pementasan yang masih belum menjelaskan sepenuhnya bayaran lakonan pementasannya sehingga kini.
Biarpun rasa tertipu, Tony tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada pengurusnya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Saya tidaklah rasa terlalu marah, cuma terkilan kerana mereka tidak menepati janji. Apa-apa pun, saya serahkan kepada pengurus saya untuk mendapatkan baki bayaran itu," katanya.
Mengenai percintaannya dengan seorang gadis bernama Dawn Marie Jeremiah, 29, sejak empat tahun lalu, Tony yang tidak berselindung mengenai percintaannya memberitahu, dia belum berhasrat berkahwin dengan kekasihnya itu dalam masa terdekat.
Ungkap Tony, walaupun umurnya sudah mencecah 33 tahun, perkara itu tidak langsung merunsingkannya kerana mereka memahami kesibukan kerja masing-masing.
"Terus-terang saya pun tidak pasti bila hendak berkahwin. Kami tidak pernah berbincang perkara itu kerana sibuk dengan kerja. Malah keluarga juga tidak mendesak kami segera berkahwin," ujarnya yang selesa menjalani hubungan ringkas dan terbuka dengan eksekutif pemasaran saluran LiTV Asia itu.
Berkongsi perkembangan karier seninya, Tony memberitahu, dia baru selesai menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio jemputan di stesen radio Capital FM sepanjang Disember tahun lalu.
Tony mengaku seronok menjadi penyampai radio buat pertama kalinya. Malah, ingin melakukannya jika diberi peluang sekali lagi.
"Memandangkan ini pertama kali saya bergelar penyampai radio, mula-mula memang gementar. Saya bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi untuk segmen Talk of the Town di stesen radio Capital FM.
"Kalau ada peluang atau jemputan untuk menjadi penyampai radio saya tidak akan menolak. Tapi saya belum bersedia menjadi penyampai radio sepenuh masa kerana lakonan tetap menjadi keutamaan saya," tuturnya.
Harapan Izreen
Satu persatu diri gadis berusia 27 tahun ini dihimpit kontroversi. Selepas kemelut hubungannya dengan Johan As'ari atau Botak, Izreen Azminda berdepan pula dengan kontroversi apabila dia dituduh menjadi perampas tunangan orang malah tunangnya, seorang jurukamera Mohammad Riza Baharuddin juga, didakwa seorang kaki perempuan dan bermasalah.
Ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memburuk-burukkan tunang Izreen itu dengan mengatakan lelaki itu bermasalah termasuk pernah berkahwin dengan bekas isteri kepada pelakon Badrul Muhayat, Julia.
Malah Riza juga dikatakan meninggalkan Julia ketika dia sedang sarat mengandung kerana ingin menjalinkan hubungan dengan seorang pengurus produksi bernama Rafeda.
Sudah mengikat tali pertunangan sejak 1 Januari lalu, Izreen mengakui terkilan dengan kontroversi yang sering menghimpit dirinya. Walaupun dia tahu dan dapat mengagak siapa yang menyebarkan fitnah tersebut dia enggan mendedahkan nama individu terbabit kerana tidak mahu memperbesarkan lagi hal ini.
"Tidak dinafikan, sebagai perempuan, bila dengar cerita macam itu apatah lagi sebelum nak bertunang, saya sangat sedih. Saya menangis, namun keluarga dan kawan-kawan banyak bagi sokongan.
"Memang saya akui terkejut dengar cerita itu. Tetapi, saya anggap ia sebagai fitnah semata-mata. Kalau betul bawa bukti dan datang berjumpa dengan saya tak perlu sebarkan cerita kepada khalayak," ujarnya yang akan mengambil tindakan undang-undang jika individu tersebut masih ingin bertindak keterlaluan.
Izreen turut menolak tanggapan dia bertunang disebabkan kecewa dengan percintaan yang tidak kesampaian dengan Johan, tetapi kerana dia telah bertemu lelaki yang benar-benar mencintainya.
"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan Johan, cukup-cukuplah. Saya bahagia dan ada kehidupan sendiri," ujarnya.
Tidak mahu meneruskan lagi bercerita mengenai cerita-cerita sensasinya, Izreen mengakui 2011 tahun paling manis dalam karier seninya apabila namanya mula mendapat perhatian.
"Selepas memenangi tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 anjuran majalah Remaja saya mula menerima tawaran berlakon. Namun, nama saya mula dikenali selepas berlakon dalam drama Juvana," ujarnya.
Menyentuh tentang lakonannya dalam filem Pecah, Izreen berkata dia membawa watak sebagai Lydia, generasi baharu yang menuntut bela dan berdendam dengan ayahnya. Lydia adalah anak luar nikah yang lahir setelah ibunya dirogol oleh ayah kandungnya sendiri.
"Karakter Lydia tidak terlalu berat buat saya dan Alhamdulillah buat masa ini tidak ada masalah untuk saya membawa watak tersebut," katanya yang berharap agar tahun 2012 menjadi tahun yang cukup bermakna dan lebih baik buatnya.
Antagonis Sofi
Nama Sofi Jikan, 42, terletak dalam kelasnya yang tersendiri. Seorang pelakon yang cukup berkarisma dalam setiap watak yang pernah dibawanya. Namun begitu, namanya tidak segah lakonannya. Peminat hanya menyedari Sofi tatkala dirinya berlakon dalam filem KL Gangster dengan membawa watak sebagai Ajib Sengat.
Tidak kecewa dengan nasibnya, Sofi mengakui bidang lakonan sebagai sumber pendapatan dan batu loncatan sebelum bergelar pengarah hebat satu hari nanti.
Ujarnya, impiannya itu akan termakbul sedikit masa lagi sebaik dia masuk ke set penggambaran filem pertama arahannya pertengahan tahun ini.
"Saya tidak sangka, penyertaan saya dalam bidang lakonan memberi rezeki baik buat saya biarpun nama saya lambat untuk dikenali. Biarpun sudah selesa berlakon, saya tetap akan meneruskan impian saya untuk bergelar pengarah," ujarnya yang enggan lagi mendedahkan judul filem arahannya.
Tidak tertumpu kepada filem Pecah semata-mata, Sofi juga kini sedang menjalani penggambaram filem KL Gangster 2 . Biarpun kedua-dua filem itu menyaksikan Sofi membawa watak antagonis, namun bagi Sofi kedua-dua filem itu memperlihatkan karakter antagonis yang berbeza.
"Bagi saya, walaupun penonton melihat watak saya sebagai penjenayah, namun saya cuba selitkan, di sebalik kejahatan saya itu masih terselit jiwa yang baik dari segi membantu rakan," tuturnya yang sering menukar gaya lakonan antonisnya agar penonton tidak menganggapnya stereotaip.
Menerusi Pecah, Sofi membawakan watak Allen, penjenayah yang membantu rakannya merompak, namun dalam masa yang sama mahu membantu rakannya, Herman.
Fara Rauf
0 comments:
Post a Comment