Sikap cemburu seorang warga emas menyebabkan dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh bekas isterinya Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Mesnayo Longdi, 69, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh membunuh bekas isterinya, Demeh Tinak, 44, bermotifkan cemburu.
"Sepatutnya tertuduh tiada hak untuk mempunyai perasaan cemburu ke atas mangsa kerana sudah berpisah dengan mangsa.
"Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas pertuduhan kes itu dan dengan ini mahkamah mendapati kamu bersalah," katanya ketika prosiding kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mesnayo yang merupakan warga Indonesia tetapi sudah mendapat taraf penduduk tetap didakwa membunuh bekas isterinya di rumah sewa mangsa di No. 88, Jalan Seniman 2, Kampung Seri Serdang, Batu 6, Tampoi pada pukul 2.40 petang, 16 Mac 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap bercerai dengan Demeh yang bekerja sebagai tukang urut tradisional enam bulan sebelum kejadian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Chong Sai Oe.
Sebelum ini, tertuduh didakwa bersama seorang lelaki, Amir Che Muda, 31, namun dia dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada 30 Januari lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
0 comments:
Post a Comment