Polis semalam menahan seorang wanita yang sebelum ini membuat laporan kononnya menemui bayi yang ditinggalkan di pintu rumahnya di Kampung Beladau Kepong, dekat sini Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, penahanan wanita berusia 23 tahun itu berjaya menyelesaikan kes tersebut dan dia juga disiasat kerana membuat laporan palsu.
Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai dan tinggal bersama keluarga angkatnya itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di rumah yang sama bayi lelaki itu ditemui.
"Polis menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan yang dibuat suspek pada hari yang sama.
"Hasil siasatan itu, suspek mengaku membuat laporan palsu kononnya seorang warga emas meninggalkan bayi tersebut di hadapan rumahnya," katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mengenai bayi lelaki berusia lima hari ditinggalkan di hadapan rumah suspek oleh seorang wanita tua yang tidak dikenali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, seorang nenek dalam lingkungan 70-an dan berasal dari Jerangau, Dungun dikatakan meminta wanita itu menjaga bayi berkenaan atau membuangnya.
Suspek yang dikatakan terkejut dengan kejadian itu kemudian memaklumkan kepada bapa angkatnya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis hari yang sama.
Menurut Manoharan, pihaknya yang menemui keraguan pada laporan yang dibuat, kemudian memeriksa rumah berkenaan dan menemui beberapa barangan untuk persediaan kelahiran bayi berkenaan di dalam biliknya.
0 comments:
Post a Comment