INFO : BAHAYA URUT KETIKA HAMIL

by 9:09 AM 0 comments

Soalan

KINI usia kandungan saya hampir memasuki 18 minggu dan saya telah pun membuat imbasan ultrabunyi baru-baru ini dan doktor memberitahu kedudukan uri saya ke bawah. Disini saya ingin mendapat nasihat serta langkah-langkah penjagaan daripada doktor berkenaan masalah ini dan bolehkah sekiranya saya menjalani rawatan tradisional seperti urutan untuk membetulkan kedudukan tersebut?


Jawapan:

Kedudukan uri di bahagian bawah atau dikenali sebagai uri ke bawah (low lying placenta) adalah keadaan plasenta yang tidak berada di posisi normal. Kebiasaannya kedudukan uri (plasenta) adalah berada di bahagian atas tengah rahim. Terdapat kira-kira 15 hingga 20 peratus ibu yang mengandung mengalami keadaan ini semasa imbasan ultrabunyi dilakukan pada trimester kedua kehamilan (4 hingga 6 bulan). Tetapi hanya lima peratus yang berkeadaan uri di bawah apabila telah sampai usia kandungan melebihi 32 minggu. Terdapat kemungkinan besar untuk seseorang ibu yang mengalami low lying placenta di awal kandungan akan dapat bersalin secara normal.


Bagaimanapun, ini memerlukan pemeriksaan antenatal rapi oleh doktor yang merawat puan. Keadaan ini juga bergantung kepada jenis plasenta previa yang dialami oleh puan dan masalah-masalah sampingan yang lain. Selalunya, doktor yang merawat puan akan menasihatkan puan supaya menjaga kesihatan dengan meningkatkan pengambilan makanan yang tinggi zat besi di samping mengelakkan diri daripada kecederaan.
Ada juga pesakit yang dinasihatkan daripada melakukan hubungan seks buat tempoh tertentu, terutama bagi kes plasenta previa yang major yang menutupi pintu serviks dan juga bagi pesakit yang kerap mengalami pendarahan. Bagi kes plasenta previa minor, hubungan seks dihalang sekiranya ibu mengalami pendarahan dan biasanya ianya boleh dilakukan semula selepas satu minggu darah mengering.

Urutan tradisional adalah perbuatan yang mungkin membahayakan puan sendiri kerana puan tidak boleh mengerakkan uri tersebut dari bahagian bawah ke bahagian atas rahim puan. Malahan urutan ini boleh mengakibatkan puan mengalami kontraksi dan kelahiran bayi pramatang, pendarahan yang berlebihan boleh membahayakan nyawa puan dan juga bayi dalam kandungan. Kadang-kadang urutan tradisional juga boleh mengakibatkan keadaan yang lebih serius jika uri terlekang lebih awal. Ini mengakibatkan seseorang wanita mengalami pendarahan yang teruk. Keadaan ini dikenali sebagai plasenta abruptio. Oleh itu, jangan sesekali mengamalkan urutan tradisional bagi masalah ini.







Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment