BERITA : 5 ANAK YATIM DIDERA

by 9:31 AM 0 comments

Siti Normala Shamsuddin menunjukkan tangan anaknya, Nur Izzati Ngah yang lebam selepas didakwa didera oleh petugas sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim di Temerloh, semalam. 


TEMERLOH 28 Feb. – Lima anak yatim perempuan yang menghuni sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim di Temerloh dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) semalam selepas mendakwa mereka didera petugas rumah berkenaan.

Bagaimanapun, hanya seorang sahaja mangsa iaitu yang berumur sembilan tahun masih dirawat di Hoshas, manakala yang lainnya dibenarkan keluar beberapa jam selepas menerima rawatan di wad kecemasan di hospital tersebut.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Temerloh, Deputi Supritendan R. Sundralingam berkata, setakat ini polis menerima dua laporan berhubung kes berkenaan daripada dua penjaga kanak-kanak terbabit.

“Kanak-kanak yang berusia lingkungan sembilan hingga 14 tahun itu mendakwa mereka didera kakitangan rumah kebajikan terbabit sejak beberapa minggu lepas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan daripada pengurusan rumah berkenaan dan menunggu laporan penuh perubatan daripada Hoshas.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun.

Sementara itu, Siti Normala Shamsuddin, 47, ibu salah seorang anak yatim yang didakwa didera itu berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya semalam sebelum bergegas ke Temerloh.
Siti Normala yang menetap di Puchong, Selangor bertindak membawa anaknya yang berusia 14 tahun itu ke hospital selepas mendapati anaknya mengalami kesan lebam-lebam.

“Saya lihat kesan lebam di lengan dan tangan anak, sebelum ini dia ada mengadu tapi saya buat tak kisah kerana anggap memang salah dia. Namun apabila kerap sangat tengok lebam sana-sini seperti sebelum ini, saya nekad membuat laporan polis,” katanya.

Seorang lagi ibu mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, dia dimaklumkan yang anaknya didera sejak setahun lepas.

Sementara itu, jurucakap rumah kebajikan anak-anak yatim itu ketika dihubungi menafikan sekeras-kerasnya berlaku kejadian penderaan terhadap kanak-kanak rumah terbabit.

Menurut jurucakap itu, pelajar terbabit hanya didenda kerana telah melakukan kesalahan yang serius.

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment