BERITA : PENJARA MAUT

by 10:04 AM 0 comments
SEHARI selepas sambutan Hari Kekasih minggu lalu, seramai 358 banduan dilaporkan mati manakala lebih 100 masih hilang dalam kejadian kebakaran di penjara Comayaga, Honduras, Amerika Selatan.
Kes itu dicatatkan sebagai kejadian paling buruk membabitkan kehilangan nyawa akibat kebakaran sejak 100 tahun lalu. Malah, kejadian lewat malam itu menyebabkan sekurang-kurangnya 100 banduan mati rentung seperti ‘kayu api’ manakala selebihnya lemas ketika merusuh mahu menyelamatkan diri.
Paling menyedihkan, kebanyakan banduan yang maut ditemui dalam bilik tahanan mereka serta bilik mandi. Difahamkan pengawal atau warden penjara tidak membuka kunci bilik tahanan sebaliknya membiarkan banduan terkunci. Manakala bomba dan pasukan Palang Merah yang dikejarkan ke tempat kejadian dikatakan tidak dibenarkan masuk dan terpaksa menunggu selama setengah jam.

Pengurusan penjara di Comayaga yang dihuni lebih 800 banduan itu mendakwa, larangan itu dikeluarkan kerana mereka percaya kebakaran sengaja dicetuskan banduan yang mahu melakukan rusuhan atau merancang melarikan diri beramai-ramai.

Sekumpulan tahanan yang disoal siasatan berikutan kebakaran itu menggambarkan suasana huru-hara ketika ia meletus. Api dikatakan segera merebak dari satu berek ke berek lain, semuanya dipenuhi dengan langsir dan tilam yang mudah terbakar. Mereka memberitahu pengawal tidak berbuat apa-apa malah membawa bersama kunci bilik tahanan ketika menyelamatkan diri.

Berdasarkan cerita berkenaan, jelas menunjukkan keselamatan di penjara bukan hanya kerana kelemahan pengurusan penjara. Ia berpunca kepada pengabaian aspek keselamatan penghuni serta kegagalan membekalkan mereka dengan ilmu menyelamatkan diri ketika berlakunya kebakaran. 
Sebenarnya, kes kebakaran penjara di Comayaga bukan yang pertama berlaku di Honduras. Banyak kes kebakaran berlaku di penjara di negara itu lebih sedekad lalu. Malah, penjara di negara berkenaan digelar sebagai penjara maut.

Selain Comayaga, kejadian yang sama berlaku di Penjara San Pedro, Sula pada 17 Mei 2004 mengorbankan 103 banduan. Setahun sebelum itu, pada April, seramai 86 tahanan mati terbakar di penjara El Porvenir.

Kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada rusuhan banduan dan tidak terkecuali didalangi geng penjenayah yang mendapat keistimewaan daripada pengawal penjara yang dirasuah. 

Dalam kejadian di penjara San Pedro Sula, api dikatakan bermula daripada litar pintas di dalam peti sejuk yang disimpan oleh ahli-ahli kumpulan penjenayah di dalam bilik tahanan mereka. 

Ada yang mendakwa litar pintas itu sengaja direka ahli salah satu daripada dua kumpulan yang berbalah di penjara berkenaan Semua mangsa yang mati adalah ahli kumpulan daripada salah satu geng terbabit. Penjara itu dibina untuk menampung 800 banduan tetapi ketika kejadian hampir 2,000 tahanan menghuni pusat berkenaan.

Apa yang pasti, kes kebakaran di penjara negara berkenaan membuka mata dunia mengenai aspek keselamatan penghuni penjara dan pusat tahanan. Menyingkap sejarah lalu, ada banyak lagi kes seumpama itu berlaku di seluruh dunia.

Minggu ini RONA menyenaraikan beberapa kejadian kebakaran membabitkan pusat tahanan, penjara dan rumah pesakit mental yang mengorbankan banyak nyawa. 

Paparan turut menyentuh mengenai aspek keselamatan penjara serta pengajaran yang perlu di ambil pihak berkuasa untuk membendung kejadian kebakaran di pusat tahanan tidak berulang.

Apa yang menyedihkan, dalam kebanyakan kes kebakaran penjara, penghuni pusat tahanan dibiarkan terbakar kerana terperangkap akibat kecuaian pengawal selain aspek keselamatan bangunan yang terdedah kepada risiko mudah terbakar. 

1. Penjara Higuey, Republik Dominican (7 Mac 2005)

Penjara Higuey yang dibina untuk menempatkan 180 tahanan tetapi disumbat dengan 400 orang, terbakar ketika banduan melakukan rusuhan. Rusuhan dikatakan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan di dua sayap bangunan di penjara berkenaan.

Pengawal tidak dapat mengawal rusuhan berkenaan dan banduan kemudian bertindak membakar tilam dengan menggunakan penyembur serangga untuk menghalang campur tangan pengawal. Api dan asap membunuh sekurang-kurangnya 134 orang dan 26 orang lagi dilaporkan cedera. Hanya kira-kira 20 banduan di bilik tahanan terselamat.

2. Hospital Mental Colney Hatch London England (27 Januari 1903)
Hospital pesakit jiwa ini dibuka pada 1851 dan menjadi hospital terawal untuk rawatan sakit mental. Dibina dalam kompleks yang besar dan luas, malah dikatakan untuk meneroka seluruh hospital mengambil masa satu hingga lima jam. Hospital ini mampu memuatkan sehingga kira-kira 3,500 ‘pesakit’ dalam satu masa.

Kebakaran dikatakan bermula pada 5.30 petang dan penduduk sekitar mendengar dengan jelas bunyi wisel stim alat penggera kebakaran dibunyikan. Api dikatakan bermula dari bilik bawah tanah salah satu blok hospital.

Tidak lama kemudian, keseluruhan blok selatan, yang dikenali sebagai Wad 5 hangus terbakar. Menjelang senja, kebakaran merebak ke blok 4, 3 dan 2. Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran tetapi tekanan air rendah menyebabkan kerja menyelamat terbantut. Sekurang-kurangnya 52 orang dilaporkan mati akibat melecur dan lemas.

Kejadian itu juga menyebabkan pihak berkuasa London bimbang ramai orang gila berkeliaran dan merayau di jalanan.

3. Sekolah Juvana Oakley Mississippi, Amerika Syarikat (1913)
Sekolah Latihan Juvana Oakley terletak berhampiran Raymond, Mississippi dan menjadi satu-satunya kemudahan untuk pesalah juvana di wilayah berkenaan. Pada asalnya, sekolah juvana yang dibina pada 1894 itu bagi menampung 150 penghuni Mississippi yang ditahan. Namun, akhirnya ia dikatakan menempatkan lebih ramai penghuni daripada kapasiti sebenar.

Tidak jelas tarikh sebenar kebakaran di pusat berkenaan tetapi berlaku pada 1913. Punca kebakaran juga tidak diberitahu tetapi api cepat merebak kerana bangunan dibuat daripada kayu.

Seramai 35 juvana semuanya keturunan Afrika-Amerika, rentung dengan kebanyakan daripada mereka sedang tidur ditingkat atas bangunan dua tingkat itu. Pada siang hari juvana terbabit dikatakan bekerja di ladang kapas.

Penjara itu tidak mempunyai peralatan mencegah kebakaran untuk memadam api. Petani tempatan berlari ke penjara cuba untuk membantu pengawal keselamatan memadamkan kebakaran tetapi api marak begitu cepat. Suara juvana di dalam sel tahanan menjerit kuat meminta pertolongan, namun tiada apa yang boleh dilakukan.

4. Penjara Maury County Columbia, Tennessee, Amerika Syarikat 

Penjara Maury County yang terletak di pusat bandar Columbia Tennessee terbakar pada hari Ahad bersamaan 26 Jun 1977 pada waktu tengah malam. Seramai 33 penghuni dan sembilan pelawat dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu.

Tidak seperti penjara lain yang dibina dengan kayu dan bahan mudah terbakar, Maury adalah penjara yang dibina dengan reka bentuk moden, dilengkapi dengan binaan konkrit yang kalis api.

Namun, kelemahan penjara ini ialah ia tidak mempunyai sistem penggera kebakaran, walaupun kemudahan alat pemadam api disediakan. Pada hari kejadian, seramai 63 tahanan, 20 orang pengunjung, dan lima pengawal berada dalam bangunan.

Kebakaran dikatakan berpunca daripada puntung rokok yang ditinggalkan banduan ketika keluarganya datang melawat. Puntung rokok itu kemudian disyaki membakar dinding yang dilapik dengan papan ‘playwood’ dan penyambung pendawaian PVC.

Kebanyakan penghuni berjaya diselamatkan dengan tindakan pantas bomba dan pengawal penjara. Namun, mereka yang maut, menghembuskan nafas terakhir bukannya kerana melecur atau rentung sebaliknya terhidu asap hitam yang mengandungi karbon monoksida dan gas sianida.

5. Penjara Saint John New Brunswick, Kanada

Kebakaran yang berlaku hampir sama dengan kes penjara Maury, berlaku pada 21 Jun 1977. Penjara yang menempatkan tahanan yang masih menunggu perbicaraan itu terletak dalam bangunan 16 tingkat yang turut menempatkan pejabat Majlis Perbandaran dan pejabat polis.

Sekali pandang bangunan moden dengan pembinaan kukuh ini dilihat tidak mudah untuk terbakar, tetapi dindingnya dilindungi penebat yang mudah terbakar diperbuat daripada plastik.

Kebakaran dikatakan bermula dari bilik tahanan walaupun tiada siapa tahu punca tercetusnya api. Tindak balas kimia daripada pembakaran penebat itu menyebabkan pengawal sukar membuka pintu sel tahanan mengakibatkan penghuni bilik itu maut.

Hasil bedah siasat ke atas 21 mayat banduan mendapati mereka meninggal kerana terhidu asap yang mengandungi karbon monoksida maut dan gas sianida. 

6. Hospital Mental Seacliff, New Zealand

Dibina pada 1800-an, menjadikannya antara bangunan awam yang terbesar pernah dibina di New Zealand ketika itu. Terletak di kawasan terpencil berhampiran kawasan hutan dan pantai, hospital itu mengendalikan 500 pesakit dengan 50 orang kakitangan.

Seni bina dicipta arkitek terhebat abad ke-19 di New Zealand, Robert Lawson dan diuruskan Sir Frederic Truby King, yang juga pengasas Badan Amal Kesihatan Selepas Bersalin. Kejadian kebakaran berlaku 8 Disember 1942 di Wad 5 tingkat dua blok kayu yang baru ditambah pembinaannya.

Wad itu menempatkan kira-kira 39 hingga 41 pesakit wanita di mana ada di antara mereka yang dikunci dalam sel tahanan. Kebakaran disedari pekerja yang kemudian cuba memadamkan api menggunakan sistem hos kebakaran.

Namun, api merebak terlalu cepat hingga membakar bangunan kayu terbabit. Dalam kejadian itu, dua pesakit wanita berjaya diselamatkan manakala selebihnya terkorban. Bomba dan anggota penyelamat berjaya memadamkan kebakaran daripada merebak ke bangunan bersebelahan. 

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment