BERITA : MALAYSIA SEDIA BANTU THAILAND

by 10:02 AM 0 comments


NAJIB Tun Razak bertukar dokumen dengan Yingluck Shinawatra selepas menandatangani kenyataan persetujuan bersama antara kerajaan Malaysia dan Thailand di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 20 Feb. – Malaysia bersetuju memenuhi permintaan Thailand untuk membantu mencari jalan penyelesaian berpanjangan terhadap pergolakan di selatan negara jiran itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakan sejawatan, Yingluck Shinawatra telah menyuarakan permintaan tersebut semasa mesyuarat dua hala sempena lawatan pertama beliau ke negara ini di sini, hari ini.
‘‘Kita juga bersetuju bahawa ini merupakan hal domestik dan penduduk di selatan Thailand tidak harus mewujudkan negara berasingan. Mereka harus menolak keganasan dan terus setia kepada Raja Thailand.

‘‘Di bawah prinsip ini kita mesti berusaha untuk mencari penyelesaian termasuk meningkatkan penyertaan ekonomi penduduk tempatan serta membolehkan mereka mempunyai suara lebih besar dalam perkara yang dekat di hati seperti pendidikan, agama dan hal ehwal budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Yingluck di Perdana Putra.
Mengenai masalah dwi-kerakyatan di kalangan penduduk di sempadan dua negara pula, Najib berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju membandingkan pangkalan data masing-masing untuk menyelesaikan isu tersebut
Sementara itu, Yingluck mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya untuk menyempurnakan pembinaan dan operasi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Ban Prakob, berhampiran Kota Putra di Durian Burung, Kedah.
Yingluck berkata, beliau menyokong usul Najib yang mahu mempromosi kerjasama sektor swasta sama ada di kawasan sempadan atau di tempat lain di kedua-dua negara.

‘‘Saya amat gembira dengan hasil perbincangan ini di mana lawatan kali ini mengesahkan hubungan erat kedua-dua negara dan komitmen bersama untuk mengukuhkan kerjasama melalui mekanisme bilateral sedia ada,” katanya.
Pada pertemuan itu, menurut Najib, kedua-dua negara juga bersetuju rangkaian hubungan dan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan perlu diperkukuh serta diperkembangkan lagi bagi memudahkan pergerakan rakyat masing-masing.

Katanya, kedua-dua negara mengambil berat tentang pentingnya usaha mempromosi kemakmuran ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sumber manusia di sepanjang sempadan di bawah Strategi Pembangunan Bersama (JDS) dilaksanakan mengikut perancangan.

Katanya, dua cadangan telah dikemukakan bagi mengukuhkan hubungan di Selatan Thailand iaitu pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Golok iaitu Rantau Panjang-Bandar Sungai Golok dan Pengkalan Kubor-Takbai serta membangunkan zon ekonomi khas di kawasan berkenaan.

‘‘Kedua, adalah mengintegrasikan pelan pembangunan dan zon ekonomi khas di CIQ Bukit Kayu Hitam-Sadao,” katanya
Perbincangan hari ini, kata Perdana Menteri, turut tertumpu kepada cadangan mewujudkan perjanjian sempadan yang baru antara Malaysia dan Thailand selain mengoptimumkan perjanjian sedia ada untuk manfaat bersama.
Menyentuh kerjasama ekonomi, Najib berkata, kedua-dua negara bersetuju terdapat beberapa bidang membabitkan industri automotif, getah, makanan dan tenaha yang perlu dilihat secara mendalam bagi memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.

‘‘Tidak ketinggalan juga industri halal seperti perdagangan, pemasaran, perkhidmatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian maklumat dan sebagainya.

‘‘Kita telah meminta pihak industri dan agensi kerajaan berkaitan di kedua-dua negara untuk mengadakan perbincangan mengenainya,” kata beliau.

Fara  Rauf

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment