BERITA : ORANG MATI MASIH TUNTUT BANTUAN JKM

by 10:05 AM 0 comments
Ada waris dikesan masih menggunakan identiti ibu bapa atau pasangan masing-masing yang sudah meninggal untuk mendapatkan bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menipu maklumat kematian individu berkaitan.


Perkara itu didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak yang menerima aduan mengenai penipuan berkenaan membabitkan sembilan kes dengan nilai kerugian hampir RM9,000 antara 2004 hingga 2009.
Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata pihaknya sudah memanggil JKM bagi menyiasat aduan berkenaan dan jabatan itu diminta mengambil tindakan segera bagi menangani masalah itu bagi mengelak pembaziran wang kerajaan.
Kita menerima aduan ada waris yang masih menerima bantuan bulanan daripada jabatan itu, walaupun penerima berkenaan sudah meninggal dunia. 


Pemalsuan maklumat itu dikesan berlaku di tiga daerah iaitu Manjung, Kinta serta Larut, Matang dan Selama.


Setakat ini, JKM sudah mengambil tindakan terhadap individu terbabit dan menyediakan laporan terperinci mengenainya. 


Jadi, PAC menyarankan JKM melakukan pemantauan dan penyelarasan maklumat untuk mengenal pasti hanya individu layak menerima bantuan itu, katanya pada sidang media di sini, semalam. 
Beliau berkata, antara langkah disarankan PAC ialah meminta JKM mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai penerima bantuan, selain menjalinkan kerjasama dengan ketua kampung atau pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).


Sekurang-kurangnya ketua kampung atau pengerusi JKKK boleh mengenal pasti penduduk kampung mereka yang sudah meninggal dunia, berpindah dan sebagainya, katanya.


Selain itu, Raja Ahmad Zainuddin berkata, PAC juga mencadangkan supaya pemberian bantuan bulanan itu tidak diberi kepada penerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana sumbangan itu sudah memadai.


Dalam perkembangan lain, PAC turut mendedahkan pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengambilan pasir di dua daerah Batang Padang dan Perak Tengah sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjejaskan kualiti air sungai dan habitat hidupan sungai termasuk tuntung.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya menerima empat kes membabitkan aktiviti pengambilan pasir di daerah berkenaan dan agensi penguat kuasa berkaitan sudah melakukan pemantauan, termasuk menamatkan permit syarikat terbabit kerana melanggar syarat.

Aktiviti pengambilan pasir yang berleluasa bukan saja menyebabkan pencemaran air dan memusnahkan habitat hidupan air, tetapi juga mewujudkan masalah lain kepada penduduk setempat iaitu kerosakan jalan raya kerana sering digunakan lori pasir yang ulang alik mengangkut pasir.

Ia menjejaskan kehidupan penduduk setempat terutama yang mencari rezeki menerusi hasil sungai. PAC meminta anggota penguat kuasa termasuk pejabat daerah, Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas bagi menangani masalah ini," katanya.

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment