SUKAN : PERASUAH BOLA SEPAK WAJAR TERIMA HUKUMAN

by 9:28 AM 0 comments

Perosak dalam industri bola sepak negara memang wajar dikenakan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apatah lagi ia telah menipu penyokong yang selama ini tidak berbelah bahagi meniupkan semangat kepada pemain dan pasukan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua yang terlibat dalam industri bola sepak termasuk pemain, jurulatih dan pegawai hendaklah mengambil iktibar daripada penggantungan yang dibuat oleh FAM ke atas mereka yang terlibat dalam rasuah bola sepak.

''Jadikan pengajaran kepada orang yang tidak terlibat supaya isu menjual permainan dan rasuah bola sepak ini adalah perkara yang serius dan wajar diperangi," kata Mohamad di sini, semalam.

Tegasnya, jika FAM tidak bertindak dengan keputusan tegasnya, maka ramai pihak yang akan memandang ringan isu ini, sekali gus menghancurkan industri bola sepak negara.

''Orang ramai telah ditipu dengan mereka yang mempunyai niat tidak betul dalam bola sepak," ujarnya.
Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu: "Kita tidak mahu melihat merudumnya bola sepak negara pada era 80-an sehingga menyebabkan ranking dunia jatuh, berulang angkara mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

''PBNS merupakan yang pertama melaporkan perkara itu, walaupun merasa amat susah hati. Selepas dipertimbangkan sebaik mungkin, maka itu adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan industri bola sepak ini.

''Penggantungan ini dibuat oleh FAM dan terpulanglah kepada mereka yang terlibat itu untuk menerima pengajaran daripada perbuatan mereka," kata Mohamad.

Beliau menjelaskan, PBNS amat kesal kerana ramai pemain muda yang terlibat telah dididik bermain dengan baik dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan 2011.

''Tetapi disebabkan kecuaian, mereka terjebak. Ramai pemain yang terlibat tidak mengetahui kerana disangka bonus tertentu. Biasanya bonus akan diisytiharkan oleh Presiden dan bonus tidak diisytiharkan dalam karaoke," katanya.







Fara  Rauf

Kaki Pesbuk

Developer

Cras justo odio, dapibus ac facilisis in, egestas eget quam. Curabitur blandit tempus porttitor. Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor.

0 comments:

Post a Comment